Persiapan bakal jemaah haji kini pada fasa akhir

Sebahagian bakal jemaah yang hadir pada Majlis Penutupan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini/ Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 12 April – Persiapan bakal jemaah haji negara kini memasuki fasa akhir menerusi penganjuran Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor bagi Musim Haji 1447H/2026M oleh Lembaga Tabung Haji.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kursus akhir sebagai medan ulang kaji dan latihan praktikal sebelum berlepas ke Tanah Suci.
  • Penekanan kepada pemahaman hukum-hakam, pengukuhan akhlak dan pembentukan minda sebagai duta kecil Malaysia.
  • Penekanan ibadah, disiplin, pengurusan masa serta pematuhan peraturan sepanjang berada di Arab Saudi.
  • Amaran mematuhi peraturan demi kelancaran ibadah dan pemeliharaan nama baik negara; 31,600 jemaah dan 100 penerbangan disediakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, penganjuran kursus berkenaan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini menjadi medan ulang kaji dan latihan praktikal terakhir kepada bakal jemaah sebelum berlepas ke Tanah Suci bermula 18 April ini.

“Alhamdulillah, negara kita sangat-sangat bertuah kerana jemaah haji Malaysia, antara yang sentiasa mendapat pujian ramai.

“Persiapan kita mantap bukan sahaja dari segi pemahaman hukum-hakam, tetapi juga persiapan dari sudut akhlak dan minda memandangkan bakal jemaah haji merupakan duta kecil Malaysia yang boleh menjadi contoh serta teladan kepada orang lain,” katanya.

Kursus tersebut memberi penekanan kepada aspek ibadah, disiplin, pengurusan masa serta pematuhan peraturan sepanjang berada di Arab Saudi.

Beliau turut mengingatkan jemaah haji Malaysia agar mematuhi segala peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran ibadah serta menjaga nama baik negara.

Seramai 31,600 jemaah haji Malaysia dijadual menunaikan ibadah haji pada tahun ini dengan 100 penerbangan sewa khas disediakan untuk membawa mereka ke Tanah Suci hingga 20 Mei depan.