
GEORGE TOWN, 16 Februari – Masyarakat Cina kini rancak melakukan persiapan akhir menjelang sambutan Tahun Baharu Cina khususnya di Pulau Pinang.
- Fokus persiapan adalah jamuan makan besar yang menjadi simbol perpaduan keluarga semasa sambutan Tahun Baharu Cina.
- Persiapan merangkumi hiasan rumah, pakaian tradisional seperti kebaya dan cheongsam, serta penyediaan kuih dan hidangan khas.
- Hidangan ikan dan makanan laut penting simbolik kemakmuran; perayaan juga mengeratkan kunjung-mengunjung keluarga dari luar.
Tinjauan RTM di sekitar George Town mendapati, tumpuan utama diberikan kepada tradisi jamuan makan besar yang menjadi simbol perpaduan dan keutuhan sesebuah keluarga.
Rata-rata mereka mengambil inisiatif melengkapkan keperluan hiasan rumah, pakaian baharu, serta barangan mentah untuk memasak.
Tidak ketinggalan David Cheah, menurutnya persiapan raya bukan sekadar mengenai hidangan istimewa, ia merangkumi pemilihan busana tradisional serta hiasan kediaman bagi membangkitkan suasana ceria.
“Biasanya kami akan mengadakan makan besar bersama keluarga. Pada hari pertama, kami akan mengunjungi saudara-mara. Keluarga juga akan menyediakan pelbagai hidangan untuk dinikmati bersama sebelum pemberian angpau. Suasananya memang meriah pada hari pertama.
“Antara hidangan wajib ialah stimbot. Dari segi perhiasan pula, kami akan membeli pakaian seperti kebaya dan ceongsam untuk dipakai semasa perayaan
Bagi Yee Peng Luah pula, dia mengambil kesempatan dengan membersihkan, menghias rumah serta menyediakan kuih tradisional menjelang sambutan perayaan.
“Kami akan mencuci dan menghias rumah bagi memastikan kediaman bersih serta cantik menjelang perayaan. Hidangan wajib pula bergantung kepada setiap keluarga. Ada yang memilih stimbot, manakala ada juga yang menyediakan Yee Sang.
“Kuih-muih tradisional seperti kuih kapit, biskut kacang dan kuih sarang lebah pasti ada. Selain itu, terdapat juga pelbagai manisan lain. Namun, generasi muda kini cenderung memilih makanan lebih moden berbanding kuih tradisional,” katanya.
Selain hidangan stimbot, penyediaan menu berasaskan ikan turut menjadi kewajipan kerana memberi simbolik membawa limpahan rezeki sepanjang tahun.
Sementara itu Abby Luah Yee Yee pula, sambutan Tahun Baharu Cina merupakan peluang untuk bersama ahli keluarga dari luar negeri dan daerah yang akan menambah seri perayaan, sekali gus menghidupkan tradisi kunjung-mengunjung yang menjadi teras keharmonian masyarakat.
“Ayam dan ikan memang antara hidangan wajib, selain pelbagai jenis makanan laut. Ikan khususnya membawa maksud simbolik kemakmuran atau rezeki berterusan. Kami menyebutnya sebagai ‘Nian Nian You Yu’, yang bermaksud setiap tahun ada lebihan atau rezeki yang berpanjangan.
“Kami juga berasa gembira kerana ahli keluarga yang bekerja atau menetap di luar kawasan dan luar negara dapat pulang berkumpul. Peluang seperti ini membolehkan kami berjumpa, berbual dan meluangkan masa bersama,” katanya.
Keunikan sambutan kali ini turut diserikan dengan kehadiran bulan Ramadan, sekali gus memperlihatkan keindahan kepelbagaian budaya di Pulau Pinang.
Suasana harmoni membuktikan semangat perpaduan antara kaum tetap utuh, meskipun meraikan sambutan perayaan berbeza.