KUALA LUMPUR, 16 Mac – Berbaki dua minggu sebelum sambutan Aidilfitri, suasana membeli-belah di bazar raya semakin meriah apabila orang ramai mengambil peluang hujung minggu untuk membuat persiapan awal.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, lokasi popular seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) dan pusat beli-belah Sogo terus menjadi tumpuan utama pengunjung.
Tinjauan RTM mendapati peniaga bersyukur dengan sambutan kali ini apabila ramai pelanggan mula membeli kelengkapan untuk seisi keluarga.
“Saya rasa dalam masa dua minggu lagi kita hendak raya ini, insya-Allah akan lebih meriah sebab warga KL ini suka beli last minute,” kata seorang peniaga, Zawiah Othman.
Peniaga lain, Siti Nursyawani Ridzuan, turut mengakui peningkatan jumlah pelanggan.
“Dalam satu hari memang ramai, sebab operasi kami dari pukul 11.30 pagi sampai 3 atau 4 pagi,” ujarnya.
Antara barangan yang menjadi pilihan utama pengunjung ialah kelengkapan busana raya seperti baju kurung, baju Melayu, tudung, dan songkok.
Bagi pengunjung Nordin Mohamad, membeli awal memberikan kelegaan kerana dapat mengelak kesesakan saat akhir.
“Setiap bulan kita akan pergi ke mana-mana pusat beli-belah, jadi bila dua tiga bulan lagi kita boleh beli untuk raya. Saya memang dah lama beli awal, taklah kelam-kabut sangat,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Nur Fatin Amira, turut mengambil pendekatan sama demi keselesaan.
“Saya buat persiapan awal supaya tidak perlu bersesak-sesak. Saya lebih suka beli secara fizikal supaya boleh cuba dahulu, lebih-lebih lagi bila ada anak kecil,” katanya.
Sementara itu, Isnizam Abdul Mubin berkata persiapan awal membolehkannya membeli secara lebih tersusun.
“Setiap tahun kami memang akan hadir di Jalan TAR dan Sogo untuk melihat apa yang perlu dibeli. Kalau beli saat akhir, memang sesak,” jelasnya.
Suasana meriah di bazar raya dijangka terus meningkat menjelang minggu akhir Ramadan, dengan lebih ramai pengunjung turun membeli-belah untuk persiapan Hari Raya Aidilfitri.