KUALA LUMPUR, 19 Mac- Sebarang kenyataan atau tindakan menyentuh sensitiviti agama lain akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi oleh pihak penguatkuasa, demikian dinyatakan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.
Beliau menerusi kenyataan di Facebook mengingatkan bahawa tiada ruang untuk sebarang bentuk kebencian atau provokasi agama di negara ini.
"Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian agama dan budaya. Setiap individu wajib menghormati dan menjaga sensitiviti agama masing-masing.
"Tindakan menghina mana-mana agama bukan sahaja mencabuli prinsip keharmonian dan perpaduan negara, tetapi juga boleh mengundang akibat yang sangat serius kepada keamanan dan ketenteraman awam," menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun kerajaan akan bertindak tegas terhadap mana-mana individu yang cuba menimbulkan perpecahan atau ketegangan antara kaum dan agama.
Beliau juga berharap agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan tegas dengan segera.
"Setiap warganegara Malaysia wajib faham, hormat dan terima kepelbagaian yang ada. Marilah kita semua hidup dalam suasana yang penuh hormat dan saling memahami, demi menjaga keamanan dan keharmonian negara yang kita cintai ini," tambah kenyataan itu.
Baru-baru ini tular mengenai kenyataan dikeluarkan oleh individu menerusi akaun Facebook Khor Soon Keat, yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW.