fb fb fb fb fb

Persempadanan negara, Malaysia tandatangan 33 perjanjian sempadan darat

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 16 Julai - Malaysia telah menandatangani 33 perjanjian Persempadanan Darat dan sembilan Triti Persempadanan Maritim dengan negara jiran.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata bagi persempadanan darat melibatkan Malaysia dan Indonesia, jarak sempadan yang telah dimuktamadkan sepanjang 1,943.2 kilometer (km).

Manakala yang terbaharu bagi persempadanan maritim, kedua-dua negara telah memeterai Triti Selat Melaka dan Triti Laut Sulawesi pada 8 Jun 2023 di Putrajaya.

"Bagi persempadanan darat yang melibatkan Malaysia dan Brunei Darussalam yang meliputi jarak sempadan sepanjang 528.45km, kedua-dua negara sedang dalam proses rundingan bagi memuktamadkan sebarang Perjanjian.

"Buat masa ini, kerja-kerja penandaan dan pengukuran di lapangan telah berjaya dilaksanakan oleh kedua-dua negara yang meliputi jarak sepanjang 175.96km atau 33.3 peratus daripada keseluruhan jaraknya," katanya.

Beliau menjawab soalan wakil Lawas, Datuk Henry Sum Agong mengenai usaha kerajaan dalam menentukan garisan sempadan darat dan maritim di antara Malaysia, Brunei dan Indonesia pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN