KUANTAN, 15 Februari- Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menitahkan rakyat di negeri itu khususnya golongan wanita untuk mengubah cara pemakanan dan gaya hidup yang sihat.
Baginda bertitah tahap kesihatan perlu sentiasa diutamakan memandangkan golongan wanita kini memainkan peranan penting terutama dalam institusi keluarga serta ada dalam kalangan mereka menyandang jawatan besar dalam negara.
Tambah baginda, faktor pemakanan perlu diberikan perhatian memandangkan ia merupakan antara punca kepada penyakit-penyakit serius seperti kencing manis dan darah tinggi.
"Kita sebagai wanita perlu jaga kesihatan, elak daripada kena kencing manis dan darah tinggi. Jadi, saya nak rakyat di Pahang ini semua sihat, kurangkan gula dalam makanan, makan sayur-sayuran dan buah-buahan."
"Kesihatan itu paling penting kerana kalau kita tidak sihat macam mana nak jaga rumahtangga kita," titah baginda pada Majlis Santapan sempena memuliakan keberangkatan balik Tengku Ampuan Pahang ke negeri Pahang selepas menyempurnakan tanggungjawab sebagai raja permaisuri agong ke-16 di Dewan Jubli Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.
Dalam pada itu, baginda yang sememangnya aktif dalam persatuan wanita ingin mewujudkan persatuan yang dinamakan Persatuan Tengku Ampuan, melibatkan golongan wanita di negeri Pahang beserta anak-anak bagi memperkasa golongan itu.
Persatuan Tengku Ampuan itu kini dalam proses untuk direalisasikan selepas mendapat perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.