KANGAR, 1 Disember- Prihatin akan nasib yang menimpa penduduk terjejas banjir, Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia Negeri Perlis menyantuni mereka yang terlibat di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Warisan
Menurut Pengerusi Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia Negeri Perlis, Norhayati Hashim, usaha tersebut adalah sebagai sebahagian daripada sokongan berterusan ahli-ahli persatuan untuk berkongsi rezeki bersama mereka yang mengharungi musibah ketika ini.
Jelasnya, mereka yang dipindahkan ke PPS diharap bersabar dengan bencana yang melanda dan sentiasa mematuhi arahan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri.
"Kita memberi bantuan selimut kepada lebih kurang 40 keluarga dan mangsa yang terdiri daripada 142 orang dan kita ada memberi makanan dan juga bantuan-bantuan yang lain.
"Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli ersatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia Negeri Perlis di atas sumbangan yang kita kumpulkan untuk sama-sama membantu mangsa yang terjejas bencana banjir kali ini," katanya.
Beliau memaklumkannya ketika mengetuai program santunan kasih Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia Negeri Perlis di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Warisan, Kangar.
Sumbangan disalurkan diharap memberi manfaat kepada setiap keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Warisan.