LABUAN, 9 September- Hampir 40,000 belia di Labuan aktif dalam persatuan belia.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim ketika hadir pada Sesi Libat Urus Pelan Transisi Kepimpinan Belia bersempena program Kembara Jumpa Orang Muda Peringkat Labuan di Kampung Batu Manikar memaklumkan, suara dan pandangan golongan tersebut penting dalam memacu pembangunan sosial dan infrastruktur.
Menjawab soalan dibangkitkan dalam sesi dialog berhubung kurangnya dana untuk persatuan belia bergerak aktif, jelasnya persatuan belia perlu mencari sumber lain tanpa bergantung sepenuhnya terhadap peruntukan disalurkan kerajaan.
"Keinginan mereka untuk melihat fasiliti lebih baik infrastruktur yang membangun dan program yang lebih menyeluruh, saiz Labuan ini tidak kecik dan tidak juga besar tapi populasi belianya sangat ramai dan aktif.
"Sebenarnya ikut persatuan ada kebimbangan yang ditimbulkan contohnya peruntukan, sumber, pengurusan, jadi kita dah dengar isu-isu ni dan kita harap kita boleh cari mekanisme terbaik,"katanya.
Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) Peringkat Labuan menjadi lokasi penutup Kembara JOM di Borneo, ia dihadiri lebih 200 belia dan komuniti pada Ahad.