
IPOH, 14 Februari– Keamanan yang dinikmati lebih enam dekad menjadi tunjang kemakmuran dan kemajuan Perak, hasil amalan saling menghormati, toleransi serta kepercayaan antara kaum dan agama yang terus dipupuk.
- Perpaduan antara kaum dan agama menjadi asas kestabilan dan kemakmuran Perak.
- Kestabilan membolehkan pembangunan negeri dirancang secara inklusif dan memberi manfaat menyeluruh.
- Keamanan terhasil daripada kesepakatan dan semangat perpaduan yang dipelihara rakyat.
- Sokongan pemimpin negeri dan simbolik majlis mencerminkan keharmonian masyarakat majmuk.
Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad menegaskan kestabilan yang dinikmati rakyat selama ini membolehkan pembangunan negeri dilaksanakan secara terancang dan inklusif, sekali gus memberi manfaat menyeluruh kepada setiap lapisan masyarakat.
Tambahnya, keamanan bukan sesuatu yang hadir secara kebetulan, sebaliknya terbina hasil kesepakatan serta semangat perpaduan yang terus dipelihara oleh rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri itu.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Negeri Perak 2026, di sini, hari ini.
Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis berkenaan yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Keberangkatan baginda disambut Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, serta barisan kepimpinan negeri dan Persekutuan.
Pada majlis tersebut, Sultan Nazrin berkenan menggaul yee sang sebagai simbolik sambutan perayaan, mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk di Perak.