
KUCHING, 7 Februari – Hubungan baik dalam kalangan rakyat Malaysia perlu terus dipelihara demi menjamin keharmonian dan kestabilan negara, justeru Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak wajar dijadikan sentimen yang boleh menimbulkan salah faham antara negeri.
- Perpaduan nasional mesti dipelihara bagi menjamin keharmonian, kestabilan dan pembangunan negara.
- MA63 tidak wajar dijadikan alat sentimen yang menimbulkan salah faham antara negeri.
- Sarawak menekankan rundingan berhemah dan berlandaskan perlembagaan untuk pelihara kepentingan negeri.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata sebarang kenyataan berkaitan MA63 yang berpotensi menimbulkan salah tafsir dalam kalangan rakyat wajar dielakkan.
“Semua pihak perlu menitikberatkan soal perpaduan nasional selain memberi tumpuan kepada pembangunan, keamanan dan keharmonian negara.
“Kita terus bersatu dan menitikberatkan soal perpaduan, selain memberi fokus kepada pembangunan, keamanan serta keharmonian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pergerakan Sayap Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini.
Pandangan sama turut disuarakan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, yang menegaskan Sarawak sentiasa menggunakan saluran dan pendekatan sewajarnya dalam mengendalikan rundingan berkaitan MA63.
Menurut beliau, pendekatan berhemah dan berlandaskan perlembagaan penting bagi memastikan kepentingan negeri terus terpelihara tanpa menjejaskan hubungan antara kerajaan Persekutuan dan negeri.