
PUTRAJAYA, 23 Februari – Perpaduan kaum dan semangat saling menghormati merupakan teras utama kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.
- Perpaduan kaum dan saling menghormati adalah teras utama kelangsungan negara majmuk.
- Kekuatan negara bergantung pada keutuhan hubungan antara rakyat pelbagai kaum dan agama.
- Sambutan perayaan pelbagai kaum menunjukkan semangat kebersamaan dan keterangkuman.
- Nilai hormat dan toleransi mesti dipelihara untuk memastikan keharmonian dan kestabilan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kekuatan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui pencapaian ekonomi semata-mata, sebaliknya turut bergantung kepada keutuhan hubungan antara rakyat pelbagai kaum dan agama.
“Masyarakat boleh cemerlang dari segi ekonomi dan mencapai pertumbuhan yang luar biasa serta transformasi ekonomi dan digital.
“Namun kelangsungan sesebuah negara, khususnya negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, bergantung kepada keupayaan dan kesanggupan kita untuk saling menerima sebagai satu keluarga besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI 2026 Kementerian Luar Negeri bersama Perdana Menteri di Kementerian Luar Negeri Malaysia (Wisma Putra), di sini hari ini.
Menurut beliau, semangat kebersamaan dan rasa hormat itu jelas terserlah dalam sambutan pelbagai perayaan di negara ini, termasuk Tahun Baharu Cina, Ponggal dan Ramadan yang diraikan dalam suasana saling memahami.
“Dalam setiap majlis yang kita anjurkan, kita memastikan wujudnya rasa keterangkuman… namun yang paling utama ialah semangat kebersamaan dan saling menghormati yang sebenar,” katanya.
Perdana Menteri berkata, nilai hormat dan toleransi itu perlu terus dipelihara agar keharmonian yang dinikmati tidak tergugat.
“Lihatlah bagaimana mereka sanggup mengambil langkah tambahan dan berusaha lebih demi menunjukkan bahawa mereka adalah rakyat Malaysia yang mengambil berat terhadap perasaan orang lain,” tambah beliau.
Datuk Seri Anwar menegaskan, keupayaan rakyat untuk hidup sebagai satu keluarga besar merupakan asas penting dalam memastikan kestabilan serta masa depan negara terus terpelihara.