fb fb fb fb fb

Perolehan pesawat pejuang, Malaysia hantar pasukan pemantau ke Korea Selatan

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

SUNGAI BESI, 10 Mac- Pesawat pejuang ringan FA-50M dijangka akan diperoleh pada hujung tahun 2026 atau awal 2027.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata satu pasukan terdiri daripada beberapa personel telah dihantar ke Korea Selatan sejak tahun lalu bagi memantau perolehan pesawat pejuang ringan tersebut.

Beliau memaklumkan latihan untuk juruterbang bagi mengendalikan pesawat akan dilakukan dalam masa terdekat.

"Kita ada membuat perolehan pesawat dari Korea Selatan. Apabila pesawat itu sedang dibina, memang kita ada hantar personel kita untuk melihat, memantau dan memastikan ia berjalan dengan baik," kata Khaled kepada pemberita dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tahunan Maktab Tentera Diraja (MTD) di Kem Perdana Sungai Besi.

Pada pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) Mei tahun lalu, Kementerian Pertahanan dan syarikat aeroangkasa utama Korea Selatan, Korea Aerospace Industries (KAI) menandatangani kontrak RM4 bilion untuk pemerolehan 18 pesawat pejuang ringan FA-50M.

Sementara itu, isu rizab negatif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pada 2022 hanya merujuk kepada satu tabung sahaja.

Sebaliknya, LTAT mempunyai tiga tabung rizab yang berada dalam kedudukan positif pada tahun berkenaan.

Datuk Seri Mohamed Khaled memaklumkan bahawa pihaknya akan memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sekiranya dipanggil.

"Ada tiga tabung rizab tetapi juruaudit am hanya merujuk kepada satu tabung. Tabung secara gabungan menunjukkan positif dan tahun ini juga positif. 2022 positif, 2023 pun positif. Untuk tahun lepas dalam RM900 juta rizab LTAT," kata Khaled ketika mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2022.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM