fb fb fb fb fb

Perolehan Pesawat Hornet diputuskan selepas terima laporan teknikal TUDM

Adly Zahari

TAIPING, 6 Julai- Keputusan perolehan pesawat tempur F/A-18D (Hornet) oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hanya akan diketahui selepas laporan teknikal diserahkan kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, pasukan teknikal TUDM baru-baru ini telah selesai mengadakan rundingan perolehan pesawat tempur F/A-18D (Hornet) membabitkan 33 pesawat Tentera Udara Kuwait yang masih dalam keadaan baik serta mempunyai waktu jam operasi yang rendah berbanding pesawat Hornet sedia ada milik TUDM. 

Dalam pada itu pihaknya juga akan menilai laporan yang disediakan TUDM sebelum mengambil sebarang keputusan. 

"...nanti kita akan buat keputusan berdasarkan laporan kumpulan teknikal, jadi keputusan sama ada nak buat perolehan dan sebagainya kita ambil kira banyak faktor lagi. Tetapi secara asasnya kumpulan teknikal melalui TUDM sudah ke Kuwait dan sudah kembali dari Kuwait.

"Jadi kita sedang menunggu laporan daripada kumpulan teknikal dan kita akan buat keputusan berdasarkan kepada laporan teknikal dan keperluan pertahanan negara terutamanya aspek TUDM itu sendiri," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) di sini.

Pada program tersebut, beliau menyampaikan geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) bernilai RM170,000 kepada 34 usahawan veteran ATM sekitar negeri Perak.

Secara keseluruhan setakat Julai 2024, seramai 54 veteran ATM telah menerima geran tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM270,000.

Dalam pada itu, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 2024 berhubung perolehan dan penerimaan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan dibahaskan dalam parlimen minggu hadapan.

Adly Zahari berkata, pihaknya akan memberikan penjelasan serta perancangan yang perlu diambil bagi memastikan sasaran pegangan kapal menjelang 2050 dapat dicapai. 

"...insya-Allah kita akan kalau kita lihat laporan Ketua Audit itu kita akan dibahaskan di Parlimen minggu depan. Jadi kita di kementerian akan bagikan penjelasan dan pelan-pelan perancangan kita menjelang 2050.

"...seperti perancangan asal kita tahu bahawa ada banyak perkara yang dibangkitkan oleh laporan audit dan bagi kita memang perlu ada penyelesaian dan saya fikir kita akan jawab di Parlimen minggu depan," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI