Perobohan jeti haram di Sungai Golok disambung selepas MTL

 Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, Datuk Mohd A. Aruwan Ab Aziz/ BERNAMA

RANTAU PANJANG, 12 Januari – Kerja-kerja perobohan jeti pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok, Rantau Panjang akan disambung semula sebaik keadaan cuaca mengizinkan, selepas dihentikan sementara berikutan Monsun Timur Laut (MTL).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerja perobohan jeti haram di Sungai Golok disambung semula selepas cuaca monsun reda.
  • Sejumlah 25 jeti berstruktur sudah dirobohkan; 96 jeti berstruktur dikenal pasti keseluruhan.
  • Tindakan bersepadu terus dijalankan untuk keselamatan sempadan dan mengekang penyeludupan.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, Datuk Mohd A. Aruwan Ab Aziz berkata, setakat ini 25 jeti berstruktur telah berjaya dirobohkan, manakala baki jeti masih dalam perancangan tindakan secara berperingkat.

Secara keseluruhan sebanyak 96 jeti berstruktur telah dikenalpasti berada di sepanjang Sungai Golok.

Beliau berkata, keutamaan diberikan kepada jeti berstruktur yang dibina di atas tanah milik kerajaan, dengan operasi perobohan dilaksanakan secara bersepadu bersama agensi persekutuan dan negeri.

“Ia ditangguhkan sementara waktu berikutan musim monsun, kerana paras air sungai yang tinggi tidak sesuai untuk kerja-kerja pelaksanaan. Selepas ini, kita akan meneruskannya semula.

“Bagi jeti yang tidak berstruktur, kita mempunyai kaedah tersendiri dan mengikut perancangan, kita akan memasang pagar kawat berduri”, katanya.

Beliau di temui media selepas mengiringi Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Pengurusan Keselamatan) Badrul Shah Mohd Idris meninjau kawasan sempadan Negara Malaysia – Thailand di Rantau Panjang.

Mengulas lanjut, Datuk Mohd A. Aruwan berkata, keseluruhan 223 jeti haram dikenalpasti di kawasan berkenaan dan tindakan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan sempadan serta membendung aktiviti penyeludupan.