SEOUL, 25 November - Kerjasama perniagaan dan perdagangan Malaysia-Korea Selatan terus diperkukuh menerusi pemeteraian empat Memorandum Persefahaman (MoU) antara agensi kerajaan dengan agensi serta firma tempatan di Seoul.
Majlis berkenaan disaksikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang turut disertai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
MoU pertama melibatkan MATRADE mengenai bidang kerjasama perdagangan dalam bentuk pertukaran maklumat dan membantu aktiviti eksport kedua-dua negara.
Seterusnya MoU antara MIMOS Berhad dengan SDT Inc dalam bidang kerjasama penyelidikan dan pembangunan teknologi informasi dan komunikasi serta elektronik mikro.
Sementara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Agensi Internet dan Keselamatan Korea (KISA) pula dalam bidang kerjasama memperkukuh pertukaran pengetahuan, kemahiran dan amalan terbaik berkaitan rangkaian keselamatan informasi dan komunikasi kedua-dua negara.
Manakala Pertubuhan Bandar Mampan & Pintar Malaysia (MSCA) dengan Bumhan Fuel Cell dalam bidang kerjasama nasihat teknikal dan bukan teknikal serta perkongsian pengetahun mengenai pembangunan bandar berteraskan hidrogen dan bandar pintar.