KUALA LUMPUR, 18 Januari- Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan bakal mempengerusikan Permukiman Menteri Luar ASEAN, AMM Retreat, esok (19 Januari) di Langkawi, Kedah yang akan membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan AMM juga akan membincangkan hala tuju strategik ASEAN, usaha memperkukuh Komuniti ASEAN serta hubungan luar ASEAN.
"Malaysia akan memperkenalkan cadangan bidang-bidang keutamaan dan keberhasilan yang menjadi fokus sepanjang tempoh Kepengerusiannya selaras dengan tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 iaitu ‘Keterangkuman’ (Inclusivity) dan ‘Kemampanan’ (Sustainability).
"Malaysia akan mengetengahkan kepimpinan negara dalam menyumbang ke arah pengukuhan Komuniti ASEAN melalui cadangan bidang-bidang keutamaan dan keberhasilan yang telah dikenal pasti yang merentasi ketiga-tiga tonggak ASEAN, iaitu tonggak politik-keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya.
"Pendekatan ini bertujuan memastikan ASEAN yang lebih bersepadu, inklusif dan mampan, sekali gus memperkukuhkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu tindakan susulan keputusan-keputusan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan di Vientiane, Lao PDR pada Oktober 2024 turut dibincangkan.
Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN akan bertukar pandangan mengenai perkembangan terkini isu-isu serantau dan antarabangsa, termasuk krisis di Myanmar, ketegangan geopolitik dan cabaran-cabaran lain yang memberi kesan kepada keamanan dan kestabilan serantau.
Sementara itu Mohamad Hasan juga akan mengambil peluang untuk mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat bagi membincangkan isu-isu pengukuhan ASEAN dan hubungan dua hala
Sesi permukiman berkenaan melibatkan penyertaan Menteri-Menteri Luar Negeri dan pegawai-pegawai kanan dari negara anggota ASEAN.
Setiausaha Agung ASEAN dan wakil dari Myanmar akan turut menyertai permukiman tersebut manakala Menteri Luar Negeri Timor-Leste juga dijemput sebagai Pemerhati ASEAN.