fb fb fb fb fb

Permohonan FSA2, proses bermula hari ini berjalan lancar

KUALA LUMPUR, 7 April- Kira-kira 500 hingga 1000 orang pencarum dijangka hadir ke cawangan KWSP Jalan Raja Laut bagi urusan Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA 2) hari ini.

Menurut Ketua Cawangannya, Mohd Yazid Judi, bermula semalam, pihaknya telah membuat persiapan rapi bagi memastikan proses semakan awal permohonan ahli berjalan lancar.

Berdasarkan tinjauan RTM setakat pagi tadi, operasi di cawangan tersebut terkawal dengan kehadiran ahli secara berperingkat.


(Ketua Cawangan KWSP, Mohd Yazid Judi)

"Kami cuba mengambil pendekatan apa sebenarnya yang mereka mahu. Jika mereka perlukan kemas kini nombor telefon sahaja kita ada mesin yang di luar ini untuk mereka kemas kini terus.

"Kami menjangkakan akan ramai juga tapi tidaklah seramai seperti pengeluaran terdahulu kerana waktu itu diperkenalkan pengeluaran tersebut dibayar terus ke akaun mereka", katanya kepada RTM.

Selain membuat semakan kelayakan awal melalui akaun 2 KWSP, ahli yang hadir turut mendaftar dan mengaktifkan i-akaun menerusi terminal layan diri di cawangan berkenaan.

Permohonan bagi FSA 2 fasa pertama mula dibuka hari ini untuk ahli KWSP berumur 40 tahun ke atas.

Permohonan bagi kemudahan itu akan kekal dibuka selama setahun, tertakluk kepada kesediaan bank yang mengambil bahagian.

Media Baharu