Permintaan kilang haram antara punca e-sisa terus masuk ke Malaysia

Permintaan tinggi oleh kilang haram antara punca e-sisa terus masuk ke Malaysia – BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Beberapa faktor yang mendorong kemasukan berterusan sisa elektronik atau e-waste ke Malaysia telah dikenal pasti kerajaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Permintaan tinggi kilang haram dalam negara mendorong kemasukan e-sisa untuk diproses secara haram.
  • Larangan import China pada 2018 menjadikan rantau Asia Tenggara destinasi baharu eksport sisa termasuk e-sisa.
  • Sindiket pengisytiharan palsu dan manipulasi maklumat menipu pihak berkuasa, kerjasama menyeluruh perlu memutus rantaian permintaan dan penawaran.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh memaklumkan, antara faktor utama ialah permintaan tinggi oleh kilang haram dalam negara yang menjalankan aktiviti pemprosesan e-sisa.

Menurutnya, rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia turut menjadi antara destinasi eksport popular sisa pejal selepas China mengumumkan larangan import bagi sisa seperti plastik, kertas, tekstil, sisa logam dan e-sisa pada 2018.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh.

“Dasar berkenaan menyebabkan negara maju mencari destinasi baharu untuk mengeksport sisa masing-masing.

“Dalam masa sama, terdapat individu atau sindiket tidak bertanggungjawab yang sengaja membuat pengisytiharan palsu serta memanipulasi maklumat barangan yang dibawa masuk bagi memperdaya dan mengelirukan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, usaha memerangi kemasukan e-sisa haram bukan terletak pada tanggungjawab Jabatan Alam Sekitar semata-mata.

Kerjasama serta pendekatan menyeluruh amat penting bagi menangani rangkaian kemasukan e-sisa – BERNAMA

Sebaliknya, kerjasama serta pendekatan menyeluruh amat penting bagi menangani rangkaian kemasukan e-sisa secara haram ke negara ini, termasuk memutuskan rantaian permintaan dan penawaran.

Sehubungan itu, beliau menegaskan tiada satu pihak yang boleh dipertanggungjawabkan sepenuhnya atau dipersalahkan, sebaliknya semua pihak perlu berganding bahu bagi membanteras isu tersebut.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara ketika menjawab pertanyaan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.