Peluasan SARA disambut baik, permintaan barangan basah meningkat

Orang ramai memanfaatkan kemudahan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan kebanyakan penerima membeli barangan keperluan asas/Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Februari – Perluasan inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2026 yang kini merangkumi barangan sejuk beku mendapat reaksi positif orang ramai kerana memberi lebih banyak pilihan pembelian keperluan harian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perluasan SARA 2026 kini termasuk barangan sejuk beku, diterima baik oleh orang ramai.
  • Stok produk sejuk beku seperti nugget dan bebola ikan berkurangan di beberapa pasar raya.
  • Pengguna berharap kerajaan menambah lebih banyak barangan basah seperti ayam, ikan dan sayur.
  • Kerajaan peruntuk RM2.2 bilion bagi kredit sekali beri RM100 untuk lebih 22 juta pemegang MyKad.

Tinjauan berita RTM di beberapa pasar raya sekitar ibu negara mendapati bahagian sejuk beku yang menawarkan produk seperti nugget, ayam bersalut tepung, daging burger dan bebola ikan berkurangan malah ada yang kehabisan stok.

Rata-rata pengguna berharap kerajaan menambah pilihan barangan termasuk produk basah seperti ayam, ikan dan sayur-sayuran.

“Semakin banyak pilihan semakin baik kerana pengguna boleh memilih dan saya harap kerajaan dapat tambah lagi barangan basah,” kata pengguna, Shabudin Mat Sirat.

“Memang membantu sebab harga barang mahal dan sekurang-kurangnya dapat jimat, tambahan pula anak-anak memang makan produk itu, tetapi kalau boleh kami mahu lebih banyak barangan basah,” kata seorang lagi pengguna, Nor Zealawati.

“Bagi saya ini langkah baik kerana bukan orang muda sahaja, golongan lebih berusia juga boleh manfaatkan bantuan dan saya harap kerajaan memperluaskan lagi,” kata Zulqarnain Hamdan Mustafa.

Foto hiasan

Bagi tahun ini kerajaan memperuntukkan RM2.2 bilion kepada lebih 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia melalui kredit sekali beri RM100 SARA yang sah digunakan hingga 31 Disember 2026.

Tahun lalu sebanyak RM2.1 bilion dibelanjakan penerima SARA 2025 membabitkan 21.2 juta pengguna.