KUALA LUMPUR, 30 Mei- MARA Negeri Perlis mengambil inisiatif menganjurkan Perlis Showcase 2024 bersempena cuti penggal persekolahan, di Bangunan Medan MARA Kuala Lumpur.
Program berlangsung selama tiga hari yang berakhir hari ini mengetengahkan 19 usahawan tempatan dengan sasaran kehadiran pengunjung lebih 10,000 orang.
Menurut Pengarah MARA Negeri, Mohd Azam Jamaluddin dalam kenyataannya, objektif utama program itu adalah untuk meluaskan jaringan usahawan Bumiputera Negeri Perlis dan mempromosikan Kempen Tahun Melawat Perlis 2024 - 2025 yang sedang berlangsung ketika ini.
Seramai 19 usahawan terkenal Bumiputera Negeri Perlis yang terpilih dari tiga industri berbeza iaitu makanan dan minuman, gaya hidup dan perkhidmatan yang menawarkan pelbagai produk termasuk produk ikonik Perlis iaitu Harumanis Perlis serta produk lain berasaskan buah Harum Manis seperti Harum Manis Yogurt, Serunding Harum Manis, bertih jagung Harum Manis dan Aiskrim Harum Manis.
Selain itu, turut diketengahkan Aiskrim Mokti's, Sotong Goreng Cuemi, Laksa Kuala Perlis, Nasi Ganja Perlis, ByReefa dan pelbagai produk negeri Perlis yang menarik menanti kehadiran para pengunjung.
Program berkenaan turut menampilkan persembahan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Perlis iaitu Tarian Canggung, Tarian Ayam Didik, Kebaya dan Kurung Perlis serta pameran Lukisan Gambar Kangar Lama, Ukiran Rumah Negeri Perlis, Lukisan Bangunan MARA Perlis dan pelbagai lagi yang dibawa khas oleh Persatuan Pelukis Negeri Perlis.
Beliau memaklumkannya pada Perlis Showcase yang sedang berlangsung serta turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, yang turut melawat setiap gerai pameran dan jualan.