KUALA LUMPUR, 1 April- Seramai 11.55 juta warganegara berumur 18 tahun ke atas mendaftar dan mengemas kini profil pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU).
Ia yang ditutup tengah malam tadi, menjadikan keseluruhan profil rakyat yang mengemas kini seramai 17.65 juta, termasuk ahli isi rumah bawah 18 tahun.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata pihaknya akan membentangkan perancangan penyasaran semula subsidi kepada Jemaah Menteri bulan ini.
"Sebarang pengumuman mengenainya akan diumumkan pada masa akan datang.
"Mengenai warganegara yang tidak berjaya mendaftar dan mengemas kini profil, data pentadbiran yang tersedia adalah mencukupi.
"Ia akan digunakan untuk menentukan kelayakan individu bagi tujuan penyasaran semula subsidi.
"Sekiranya perlu, kementerian akan mengumumkan pembukaan semula PADU untuk tempoh yang singkat bagi pendaftaran dan pengemaskinian.
"Ini setelah kerajaan membuat keputusan mengenai bentuk dan mekanisme subsidi bersasar," katanya menerusi kenyataan.
Sementara itu, Perlis merekodkan peratusan pendaftaran tertinggi PADU diikuti Kelantan dan Terengganu.