fb fb fb fb fb

Perkukuh kesejahteraan wanita, seru lebih banyak usaha dilaksana

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Persidangan Antarabangsa Kesejahteraan Mental dan Pemerkasaan Wanita / FOTO FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 10 Oktober- Tindakan kolektif perlu dilaksanakan dalam usaha memperkukuhkan kesejahteraan wanita sebagai asas kepada kesejahteraan negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menyeru lebih banyak usaha dilaksanakan bagi memperkasakan wanita bukan sahaja aspek ekonomi dan sosial malah daripada segi kesihatan mental.

Ini katanya selari dengan komitmen kerajaan yang berusaha menghapuskan diskriminasi berasaskan gender, termasuk dengan memperkenalkan dasar-dasar baharu yang mempromosikan kesaksamaan gender.

"Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sentiasa berjaga-jaga dan telah melaksanakan beberapa inisiatif komprehensif yang bertujuan meningkatkan pemerkasaan wanita serta program kesejahteraan mental.

"Masyarakat perlu mengiktiraf nilai intrinsik wanita kerana peranan penting mereka dalam masyarakat dan penting untuk dihormati serta diberi kuasa untuk memacu kemajuan negara kita ke hadapan," katanya.

Beliau berucap pada Persidangan Antarabangsa Kesejahteraan Mental dan Pemerkasaan Wanita di Ibu Negara.

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah turut berkenan berangkat ke persidangan yang bertemakan Her Mind, Her Strength: Women , Wellness dan Empowerment itu.

Laporan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 melaporkan sekitar satu juta rakyat Malaysia, atau 4.6 peratus daripada penduduk berusia lebih 15 tahun, mengalami kemurungan.

Data tersebut menekankan perlunya tindakan pantas dan holistik untuk menangani isu itu, lebih-lebih lagi dalam kalangan wanita yang sering terdedah kepada tekanan mental dan cabaran kehidupan yang pelbagai.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE