fb fb fb fb fb

Perkukuh ekosistem semikonduktor, dasar penghasilan cip tempatan dirangka

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR, 3 Mei- Ekosistem semikonduktor diperkukuh dalam menghasilkan produk berkualiti dan diyakini peringkat tempatan dan antarabangsa.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, sebagai langkah awal, dasar dirangka bagi membolehkan sebahagian daripada industri negara menggunakan cip tempatan.

"Kalau kita ada telefon pintar versi Malaysia, jadi sudah tentulah kita reka, pakai dan telah ada 'order' yang sememangnya datang daripada Malaysia. Kita tiada itu.

"Jadi itu antara perkara-perkara yang dipertimbangkan oleh kementerian-kementerian bagaimana kita membantu di peringkat awal ini untuk memudahkan firma-firma yang berkecimpung dalam reka cipta semikonduktor ini, paling kurang mempunyai lonjakan awal.

"Kalau tidak mereka perlu bersaing seratus-peratus dengan pemain global di seluruh dunia", katanya dalam sesi 'INTAN Minister's Conversation' (IMC) 2024 di ibu negara.

Beliau berkata, antara ekosistem tersebut turut melibatkan pereka cipta sektor semikonduktor dalam meningkatkan kebolehpasaran produknya.

IMC merupakan salah satu daripada Program Bitara Intan yang melibatkan pemimpin-pemimpin tinggi kerajaan dan perkhidmatan awam yang membicarakan perkara berimpak tinggi serta berskala besar.

Sementara itu, Malaysia berkemungkinan akan mengimport lebih banyak gas bagi penjanaan elektrik pada masa hadapan, jika tidak beralih kepada tenaga boleh diperbaharui.

Rafizi berkata tahun lepas Malaysia mengimport kira-kira 25% gas bagi memenuhi keperluan negara berikutan kekurangan pengeluaran sumber asli seperti minyak dan gas.

"Kita perlu ubah dasar tenaga kita supaya menjelang tahun 2050 kita boleh pastikan negara ini tidak bergantung kepada negara luar untuk penjanaan elektrik, kerana kita tidak perlu mengimport gas terlalu banyak apabila kapasiti terpasang kita untuk tenaga boleh baharu dipercepatkan, jadi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR)", katanya dalam sidang media selepas sesi 'INTAN Minister's Conversation' di ibu negara.

ROSLINA BINTI DIN