fb fb fb fb fb

Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Ampang-Sri Petaling kembali beroperasi

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 17 Februari - Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Ampang-Sri Petaling kini kembali beroperasi sepenuhnya kepada penumpang selepas kerja-kerja pembaikan menyeluruh.

Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, pembukaan semula laluan tersebut telah mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berdasarkan penilaian dan pemeriksaan yang dijalankan.

"Setahun telah berlalu, kerosakan telah diperbaiki oleh pihak Prasarana, mereka telah melantik juru perunding bebas dan juga kontraktor untuk memperbaiki struktur tersebut."

"Seperti yang kita tunjukkan tadi ada tiga struktur yang telah pun diperbaiki dan telah pun siap sepenuhnya pada akhir bulan Disember yang lalu dan lebih daripada sebulan ini, beberapa ujian telahpun dibuat dan pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah pun berpuas hati untuk dibuka semula laluan diantara Stesen Bandaraya dengan Stesen Masjid Jamek."

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Stesen LRT Bandaraya di ibu negara.

Tambah beliau, dengan pembukaan semula laluan tersebut akan memudahkan pergerakan penumpang selain meningkatkan aktiviti ekonomi di sekitar laluan tersebut.

Terdahulu, laluan di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya telah ditutup sejak 27 Januari 2023 atas faktor keselamatan berikutan kerosakan struktur jejambat dan landasan berhampiran Stesen Bandaraya.

Kerja-kerja membaik pulih kerosakan telah dimulakan pada 17 Mac 2023, melibatkan dua fasa merangkumi kerja-kerja menyokong jejambat di P163, P164 dan P165 serta mengembalikan struktur jejambat ke kedudukan asal.

Sementara itu,  Anthony Loke menjelaskan Prasarana akan membuat tuntutan sebanyak RM38 juta kepada pemaju dan pemilik tapak projek yang menyebabkan gangguan kepada laluan Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya.

Menurut Anthony, jumlah tuntutan tersebut meliputi keseluruhan kos baik pulih kerosakan dan operasi yang terpaksa ditanggung Prasarana akibat gangguan tersebut.

"Kalau kita lihat dengan mata kasar, tapak pembinaan itu terletak begitu dekat dengan stesen Bandaraya dan dekat dengan jejambat ataupun kita punya laluan."

"Jadi sudah tentu kerosakan ini telah pun disahkan oleh pihak juruperunding bahawa berpunca daripada pergerakan tanah yang disebabkan oleh kerja-kerja pembinaan", katanya 

demikian pada sidang media selepas melawat Stesen LRT Bandaraya di ibu negara.

Tambahnya, pemantauan akan terus dilakukan supaya kerosakan tersebut tidak berulang lagi.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD