KUALA LUMPUR, 14 Disember - Kesemua perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Komuter Lembah Klang bagi laluan Tanjung Malim-KL Sentral-Tanjung Malim dan tren elektrik (ETS) kembali pulih.
Dua hari lepas operasi KTMB bagi laluan tersebut terganggu akibat sebuah kren binaan tumbang antara Rawang dan Kuang.
KTMB dalam kenyataan berkata, tren komuter pertama bernombor 2301 telah memulakan operasi seawal 5.05 pagi tadi dari stesen Tanjung Malim ke KL Sentral.
"KTMB memohon maaf sekali lagi atas kejadian yang berlaku. Kami mengucapkan terima kasih atas kerjasama penumpang yang terkesan dan menghargai perhatian serta pemahaman anda," menurut kenyataan itu.
Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi Pusat Panggilan KTM Berhad di 03-2267 1200 atau mendapatkan maklum balas segera melalui Messenger Facebook rasmi KTMB.