fb fb fb fb fb

Perkhidmatan komuter, ETS alami gangguan perjalanan hari ini

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 29 November- Perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter dan Tren Elektrik (ETS) mengalami gangguan waktu perjalanan hari ini disebabkan oleh insiden kegelinciran tren kejuruteraan projek Klang Valley Double Track 1 (KVDT1) di KM387.755 di antara Stesen Kuala Lumpur dengan Stesen KL Sentral pada 4.05 pagi tadi.

KTM menerusi kenyataannya memaklumkan kejadian berlaku ketika tren kejuruteraan projek itu sedang menjalankan kerja-kerja menaik taraf landasan di KL Sentral yang menyebabkan perkhidmatan ETS dijangka lewat 30 minit, manakala KTM Komuter selama 15 minit.

“Insiden itu menyebabkan gangguan operasi perkhidmatan tren ETS laluan KL Sentral-Butterworth-KL Sentral dan KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral serta perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang bagi laluan KL Sentral-Tanjong Malim-KL Sentral dan Batu Caves-KL Sentral-Batu Caves kerana penggunaan satu landasan sahaja.

“Kami sekali lagi memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi penumpang susulan kejadian itu dan akan terus komited dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penumpang. Maklumat terkini akan diberikan dari semasa ke semasa melalui akaun media sosial kami," menurut kenyataan itu.

KTM menjelaskan kerja-kerja pengalihan sedang giat dijalankan dan dipantau oleh kakitangan keselamatan serta memohon agar penumpang mematuhi arahan dan aturan kakitangan stesen bagi penggunaan platform.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Panggilan KTM Berhad menerusi talian 03-2267 1200 atau layari saluran media baharu KTMB.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE