PERKESO salur faedah RM6.65 bilion pada 2025

Datuk Seri Ramanan ditemui selepas merasmikan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina KESUMA PERKESO LINDUNG 2026 di Pusat Khidmat Rakyat di sini.

SUNGAI BULOH, 14 Februari – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah menyalurkan faedah berjumlah RM6.65 bilion kepada lebih 1.15 juta penerima di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • PERKESO menyalurkan faedah RM6.65 bilion kepada lebih 1.15 juta penerima di seluruh negara.
  • Jumlah itu meningkat 8.34% berbanding 2024, mencerminkan kecekapan pengurusan dan tadbir urus agensi.
  • Tiga reformasi dasar diumumkan untuk 2026: LINDUNG 24 Jam, Akta Pekerja Gig 2025, dan Skim Pengembara.
  • Usaha ini bertujuan menutup jurang perlindungan antara sektor formal dan tidak formal melalui perlindungan mudah alih.

Data daripada laporan Prestasi Tahunan 2025 itu sekali gus membuktikan kecekapan pengurusan dan tadbir urus agensi berkenaan.

Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan 8.34 peratus berbanding RM6.1 bilion pada 2024, didorong oleh kepimpinan pengurusan tertinggi PERKESO yang komited memastikan penyampaian faedah sampai kepada golongan sasar.

“Kalau lihat, saya sangat bangga dengan pengurusan tertinggi PERKESO. Mereka telah menjalankan tugas mereka dengan bagus dan baik mengikut tatakelola dan saya harap ia akan bersambung sebegitu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina KESUMA PERKESO LINDUNG 2026 di Pusat Khidmat Rakyat di sini.

Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Ramanan memaklumkan, tiga reformasi dasar melalui PERKESO akan dilaksanakan tahun ini, termasuk inisiatif LINDUNG 24 Jam, penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 serta Skim Pengembara bagi pencarum LINDUNG Kendiri.

Langkah itu selari dengan usaha KESUMA untuk menutup jurang perlindungan antara sektor formal dan tidak formal menerusi konsep perlindungan bersifat mudah alih.