fb fb fb fb fb

PERKESO adakan jerayawara ke seluruh negara bermula Isnin ini

Pengerusi Jawatankuasa Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Kasthuri Patto

KUALA LUMPUR, 3 Mei- Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan mengadakan jerayawara ke seluruh negara bermula Isnin ini bersama majikan.

Ia bertujuan memberi penerangan mengenai kaedah penajaan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) kepada pekerja syarikat atau wanita B40 dengan pengecualian cukai.

Pengerusi Jawatankuasa SKSSR Kasthuri Patto berkata, sebanyak tujuh sesi jerayawara akan dilaksanakan mulai bulan Mei hingga Julai di Wisma Perkeso, Kuala Lumpur.

Ia melibatkan majikan di sektor swasta, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO) serta institusi lain.

"Sesi jerayawara ini akan turut diperluaskan untuk dilaksanakan oleh pejabat-pejabat PERKESO di seluruh negeri di Malaysia dan mengikut keperluan wakil rakyat yang juga boleh membuat pencaruman untuk suri rumah B40 atau M40 di kawasan mereka.

"Impak daripada sesi jerayawara ini dijangka akan meningkatkan kerterjaminan perlindungan sosial yang lebih komprehensif melalui perlindungan SKSSR khusus untuk pekerja wanita serta isteri pekerja dengan pengecualian cukai bagi kategori wanita B40 atau M40", katanya dalam sidang media khas yang diadakan di Menara Perkeso di ibu negara.

Katanya, bagi kategori pekerja wanita yang tidak layak mendapat pengecualian cukai, syarikat masih boleh membuat penajaan berasaskan konsep solidariti majikan demi untuk kebajikan pekerja syarikat secara menyeluruh.

Setakat ini, beliau berkata 10 syarikat telah mengambil bahagian dalam inisiatif pengecualian cukai bagi caruman SKSSR, antaranya Malayan Banking Berhad, Berjaya Corporation Berhad, Sime Darby Property dan Lembaga Tabung Haji yang berjumlah RM558,360 serta memanfaatkan seramai 4,864 wanita golongan B40.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, masih ramai wanita tidak mendaftar SKSSR PERKESO berbanding sasaran Kementerian Sumber Manusia menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 500,000 pendaftaran caruman skim itu.

Skim itu untuk memberi perlindungan kepada suri rumah daripada kemalangan domestik atau keilatan semasa menguruskan rumah tangga serta suri rumah yang menghidap penyakit atau hilang upaya.

"Sehingga 21 April 2024, 253,794 wanita telah mencarum di bawah SKSSR dan jumlah pembayaran faedah kepada pencarum SKSSR ini sehingga 15 April tahun ini adalah berjumlah hampir RM1.6 juta", katanya.

"Matlamat Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong telah menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 500,000 pendaftaran caruman skim SKSSR dan ia telah menjadi sasaran jawatankuasa SKSSR juga.

Sehingga kini, Sarawak mendahului negeri lain dengan 56,128 pendaftaran, diikuti Sabah dengan 49,780, Selangor (16,867), Johor (16,588), Terengganu (16,348), Kelantan (15,489), Perak (15,397), Pulau Pinang (13,953), dan Kedah (13,855). Manakala di Negeri Sembilan (11,161), Pahang (9,154), Melaka (8,056), Perlis (3,725), dan sebanyak (7,293) pendaftaran direkodkan untuk tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Mengikut pecahan etnik pula, wanita Melayu mencatatkan jumlah tertinggi dengan 137,796 pendaftaran, diikuti Bumiputera Sabah 20,631, Bumiputera Sarawak 19,204, India (17,034), Cina (10,399), Orang Asli (Semenanjung) 472 dan lain-lain seramai 48,258.

Usaha untuk memastikan maklumat yang tepat sampai kepada kumpulan sasaran iaitu wanita B40 dan M40 melibatkan semua lapisan masyarakat, Kasthuri berkata, beliau berharap NGO serta pimpinan akar umbi dapat berganding bahu untuk merealisasikan matlamat berkenaan.

ROSLINA BINTI DIN