KUALA LUMPUR, 29 Januari- Negara membangun disaran memperkukuh kerjasama dalam memperkemas kerangka perdagangan.
Keperluan itu, bagi memastikan semua pemain dalam rantaian bekalan mendapat akses ke pasaran global.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi catatan pasca Forum Ekonomi Dunia (WEF), memfokuskan kepada usaha membantu perusahaan kecil sederhana (PKS).
(Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri,
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz)
Strategi juga perlu dirangka untuk berdepan risiko masa hadapan, merangkumi kos sara hidup, keterjaminan makanan dan tenaga, cabaran inflasi, selain risiko perubahan iklim.
Justeru beliau yakin ASEAN berupaya memainkan peranan dalam rantaian bekalan produk kritikal seperti makanan, peralatan perubatan dan tenaga dalam mengurangkan kebergantungan kepada import.
Ekonomi global juga dijangka menerima impak positif susulan pembukaan semula China, namun kebergantungan kepada China perlu dikurangkan berikutan jangkaan permintaan yang mendadak melibatkan sektor tertentu.
Agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) juga dijangka kekal menjadi keutamaan, dengan MITI meneruskan usaha menyokong peralihan ESG bagi syarikat pelbagai saiz pengoperasian.