fb fb fb fb fb

Perkemas Akta Komunikasi, kekurangan RMM tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 13 November - Usaha memperkemas Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian antara yang akan dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) meminta Menteri Komunikasi menyatakan pelan untuk mengkaji dan memperkemas Seksyen 233 bagi memastikan skop dan penggunaannya tidak memberi ruang disalahgunakan, pada sesi soal jawab lisan.

Datuk Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) pula meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan dasar serta strategi kementerian untuk menangani kenaikan harga hartanah dan kekurangan rumah mampu milik (RMM).

Turut menarik perhatian, soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) mengenai kesediaan kerajaan untuk melaksanakan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menyeluruh dalam sektor ketenteraan bagi memperkukuh keupayaan pertahanan Malaysia.

Usai sesi berkenaan, persidangan diteruskan dengan penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa oleh kementerian-kementerian.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perbekalan 2025 di peringkat dasar selepas dibahaskan bermula 21 Oktober lepas.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 35 hari bermula 14 Oktober hingga 12 Disember ini.-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN