fb fb fb fb fb

Perjelas langkah fiskal, elak salah faham rakyat - PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucaptama pada Simposium Sasana 2025 anjuran Bank Negara Malaysia di ibu negara / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Jun - Langkah-langkah fiskal termasuk rasionalisasi subsidi RON95 bersasar dan reformasi percukaian perlu diperjelas sebaiknya agar difahami dan diterima rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata reformasi ini perlu dilaksana kerana ia keperluan nasional bagi menyelamatkan ekonomi negara selain langkah penting membantu golongan berpendapatan rendah.

Justeru, Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan digesa bekerjasama dengan kerajaan dalam meningkatkan pemahaman orang ramai mengenainya.

"Ia perlu dilaksanakan, tetapi mesti juga dihuraikan dengan jelas. Rakyat perlu difahamkan tentang sebab di sebalik perubahan ini. Justeru, perbincangan dan wacana yang berasaskan fakta amat penting, bukan sahaja untuk memastikan program yang dirancang dianggap berkesan atau dasar itu baik tetapi agar ia dapat dilaksanakan dengan berkesan serta difahami oleh majoriti rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Simposium Sasana 2025 anjuran Bank Negara Malaysia di sini.

Mengulas lanjut mengenai rasionalisasi subsidi RON95, pendekatan menyeluruh sebelum ini menyebabkan bantuan turut dinikmati golongan berada, sedangkan tujuan sebenar untuk meringankan beban golongan rentan.

Dalam masa sama, reformasi cukai turut disifatkan sebagai langkah penting untuk memperluas asas hasil negara bagi menampung keperluan asas rakyat seperti pendidikan berkualiti, pembaharuan sistem kesihatan serta pembangunan teknologi dan digitalisasi.

“Semua ini memerlukan peruntukan dana yang besar. Namun, tiada siapa yang mahu membayar, termasuk golongan kaya. Inilah cabaran utama kita.

Maka, reformasi cukai adalah suatu keperluan untuk meluaskan asas hasil negara, memperkukuh penguatkuasaan dan menangani ketirisan tanpa membebankan golongan berpendapatan rendah,” jelas Perdana Menteri.

NORAINI BINTI WAHIB