
KUALA LUMPUR, 24 Februari- Kerajaan menegaskan bahawa klausa 5.2.3 dalam perjanjian perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat tidak menjejaskan kuasa kerajaan negeri terhadap sumber mineral, sebaliknya bertujuan memastikan pelaburan asing dikawal secara telus dan selamat.
- Klausa 5.2.3 tidak memindahkan kuasa kepada Persekutuan atau menjejaskan hak negeri terhadap sumber mineral.
- Mekanisme bertujuan menarik pelabur berkualiti tinggi serta galakkan pemprosesan dan aktiviti hiliran dalam negara.
- Pelaburan asing berisiko keselamatan akan diteliti di peringkat Persekutuan sebelum kelulusan negeri diberikan.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh menjelaskan bahawa menurut Perlembagaan Persekutuan, mineral dikategorikan di bawah Jadual Kesembilan, Senarai II, justeru semua hak berkaitan milikan tanah, pajakan perlombongan, kebenaran melombong dan royalti kekal di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Perkara 5.2.3 ini tidak memindahkan sebarang kuasa kepada Kerajaan Persekutuan dan tidak menjejaskan hak negeri terhadap sumber mineral masing-masing.
“Mekanisme yang dicadangkan hanya bertujuan meningkatkan keyakinan pelabur berkualiti tinggi serta menggalakkan pembangunan pemprosesan dan aktiviti hiliran dalam negara, selaras dengan amalan antarabangsa,” jelasnya.
Beliau menambah, sekiranya pelaburan asing dalam sektor mineral kritikal dikenal pasti mempunyai risiko keselamatan, pelaburan tersebut akan tertakluk kepada semakan tambahan di peringkat Persekutuan sebelum kelulusan pajakan dan lesen perlombongan diberikan oleh kerajaan negeri.
Langkah berkenaan memastikan pelaburan membawa manfaat ekonomi, selamat untuk negara dan tidak mengurangkan hak kerajaan negeri dalam menguruskan sumber mineral mereka.
Syed Ibrahim berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Pele Peter Tinggom mengenai implikasi klausa 5.2.3 terhadap kerajaan negeri di Dewan Negara, hari ini.