fb fb fb fb fb

'Perjanjian MA63 saya tidak mahu tertangguh lagi' - PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Penutup Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah/Foto BERNAMA

PENAMPANG, 31 Mei - Setahun lebih memegang jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diselesaikan dengan kadar segera.

Anwar menegaskan bahawa beliau tidak mahu menangguhkan lagi pembentukan MA63 yang memberi impak besar dalam kehidupan rakyat di Negeri di Bawah Bayu itu.

"Hal yang telah disepakati dalam MA63 harus diselesaikan. Saya tidak mahu tertangguh lagi.

"Kita bukan hendak menangani masalah Sabah (Tetapi) sentimen ini adalah kita harus jawab. Sebab itu kita harus adakan hubungan yang sangat baik, runding dengan baik jangan dilihat sebagai satu tuntutan yang mempersulitkan urusan kerja kita.

"Setiap kali saya ke Jepun atau China atau Jerman, saya tidak pernah meninggalkan untuk mengajak pelabur-pelabur besar bukan sahaja datang ke Lembah Klang, Pulau Pinang, atau Kulim Hi Tech.

"Tetapi saya berikan tumpuan kepentingan kepada Sabah-Sarawak. Saya tidak pernah mengabaikan Sabah dan Sarawak kerana kita mempunyai hubungan yang baik sebagai kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di sini, hari ini.

MA63 memastikan negeri itu tidak ketinggalan daripada pembangunan, sosioekonomi rakyat dan pelbagai sektor penting.

Pada Januari tahun lalu, Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Gas 2023.

Ini berikutan pengembalian kuasa kawal selia bekalan gas daripada Persekutuan kepada Sabah yang merupakan langkah digerakkan Anwar dan Hajiji dalam merealisasi MA63.

Ucapnya lagi, kerajaan Persekutuan bersetuju menyerahkan kuasa kawal selia bekalan elektrik negeri Sabah dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada kerajaan negeri Sabah secara berfasa.

"Saya tidak ada masalah sama sekali. Kita tunaikan apa yang kita janjikan dalam perjanjian MA63.

"Cuma saya minta jangan pertikaikan dan jangan nafikan kerana di Parlimen saya menjawab serangan-serangan berkaitan peruntukan kepada Sabah dan Sarawak yang terlalu tinggi," katanya.

Belanjawan 2024, kerajaan persekutuan memperuntukan RM12.4 bilion untuk pembangunan di Sabah dan Sarawak.

Dalam pembentang belanjawan pada Oktober tahun lalu sebanyak RM6.6 bilion diperuntukkan kepada Sabah, manakala RM5.8 bilion lagi untuk Sarawak.

Peruntukan itu menunjukkan peningkatan daripada RM6.5 bilion (Sabah) dan RM5.6 bilion (Sarawak) dalam Belanjawan 2023.

GRACE AISYAH KEDAYAN