fb fb fb fb fb

Perjanjian kartel libatkan lima syarikat mega

KUALA NERUS, 26 Oktober- Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengesan lima syarikat mega pengeluaran ayam di negara ini terlibat dalam perjanjian kartel dan menyebabkan berlakunya kesepakatan dalam memanipulasi harga di pasaran, sekali gus membebankan rakyat.

Syarikat-syarikat terbabit diberi tempoh sehingga 19 Disember bagi mengemukakan representasi mereka kepada suruhanjaya tersebut.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata tempoh berkenaan diberikan untuk kesemua syarikat terbabit memberikan hujah masing-masing bagi menjawab bukti lain yang dikemukakan MyCC.


(Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid)

"Hasil siasatan mendapati ada bukti kuat berkaitan lima syarikat ini dengan perjanjian kartel dedak ayam. Mereka perlu kemuka bukti, bantah keputusan cadangan itu untuk memutuskan sama ada bersalah atau tidak dimuktamadkan selepas representasi dikemukakan", katanya selepas merasmikan Program 'CA2010@University' bersama MyCC dan sesi dialog program Food Bank Malaysia bersama mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail, Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia dan Timbalan Naib Canselor, UniSZA, Dato’ Profesor Madya Dr Mohd Hafiz Yusof.

Hasil siasatan awal MyCC terhadap lima syarikat besar terbabit didapati melanggar Seksyen empat Akta Persaingan 2010 dengan terlibat perjanjian anti persaingan, atau lebih dikenali sebagai perjanjian kartel.

Kesemua kesalahan itu dikesan sejak awal tahun 2020 hingga pertengahan 2022.

Media Baharu