
KUALA LUMPUR, 21 Januari – Kerajaan dijangka menyediakan kertas cadangan menerusi mekanisme perbincangan secara bersama melibatkan pihak berkepentingan termasuk ahli parlimen pembangkang, bagi membincangkan isu Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) sebelum ia diratifikasi secara rasmi.
- Kerajaan sediakan kertas cadangan melalui perbincangan bersama sebelum meratifikasi ART.
- Perbincangan melibatkan pihak berkepentingan termasuk ahli parlimen pembangkang.
- Matlamatnya untuk mentakrif dan memperjelas peruntukan, khususnya berkaitan kedaulatan negara.
- Keputusan akhir hanya dibuat selepas perundingan menyeluruh dan mengambil kira input bersama.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, komitmen itu bertujuan untuk membincangkan dan mentakrif semula beberapa peruntukan dalam perjanjian bagi menangani sebarang isu, khususnya berhubung kedaulatan negara yang sering dibangkitkan.
“ART ini mempunyai banyak perkara yang perlu diteliti dan dibincangkan sebelum perjanjian ini diratifikasi secara muktamad. Semua isu berbangkit perlu diperjelas bagi mengelakkan sebarang salah anggap
“Proses ini perlu dibincangkan kerana, seperti yang saya nyatakan sebelum ini, ia tidak melibatkan isu politik ini adalah soal ekonomi semata-mata,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin behubung kedudukan Malaysia berkaitan pelaksanaan dan komitmen terhadap ART berbanding negara-negara Asia Tenggara lain yang masih belum menandatangani atau meratifikasi perjanjian tersebut, di Dewan Rakyat hari ini.
Datuk Seri Johari menegaskan bahawa sebarang keputusan akhir hanya akan dibuat selepas perundingan menyeluruh, termasuk mengambil kira input daripada perbincangan secara bersama.