fb fb fb fb fb

Perhilitan pindahkan gajah liar ganggu kebun penduduk Orang Asli RPS Legap

Operasi pemindahan dilakukan 20 kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKJG) dibantu sembilan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak.

SUNGAI SIPUT, 8 Januari- Seekor gajah jantan liar seberat 1.8 tan yang mengganggu kebun penduduk di perkampungan Orang Asli Rancangan Penempatan Semula (RPS) Legap, Sungai Siput, berjaya dipindahkan pagi tadi.

Operasi pemindahan yang bermula pukul 8 pagi dilakukan 20 kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKJG) dibantu sembilan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, gajah berkenaan dikesan mengganggu kebun penduduk sejak Disember tahun lalu.

"Kita mengambil masa yang sesuai untuk membuat tangkapan, berikutan pada bulan Disember kita menerima terlalu banyak aduan harimau belang.

"Sebenarnya ada lagi beberapa aduan terutama di Pos Perwor dan kita akan ambil tindakan yang bersesuaian, kemudian gajah ni kita akan lepaskan di habitat asal,"katanya.

Beliau ditemui pada Operasi Pemindahan Gajah Liar di RPS Legap, Sungai Siput, pagi tadi.

Tambahnya lagi, sebanyak lapan aduan diterima Perhilitan Perak pada Disember 2023 berhubung isu gajah liar khususnya melibatkan kawasan di Sungai Siput.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE