GUA MUSANG, 24 Disember- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) Daerah Kuala Krai, Kelantan memindahkan seekor harimau kumbang ke habitat lebih sesuai.
Pengarah PERHILITAN Kelantan Mohamad Hafid Rohani dalam satu kenyataan memaklumkan, harimau berkenaan dipercayai keluar dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Relai yang terletak berhampiran dengan Kampung Gua, Paloh 1, Gua Musang untuk mencari makanan.
"Pada 23 Disember 2024 pejabat PERHILITAN daerah Kuala Krai telah menerima maklumat daripada pengadu mengenai perangkap yang dipasang pada 22 Disember 2024 telah berjaya memerangkap satu ekor harimau kumbang.
"Tangkapan harimau kumbang tersebut dapat meredakan keresahan penduduk kampung terhadap keselamatan mereka," menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun enam anggota PERHILITAN Kuala Krai bersama kakitangan Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Gua Musang menjalankan operasi memindahkan harimau kumbang itu ke habitat sesuai dan selamat kira-kira pukul 12.00 tengah hari semalam.
"Khidmat nasihat dan langkah mitigasi telah diberikan kepada penduduk kampung supaya membersihkan kawasan semak di sekitar kampung dan kebun, sentiasa berteman semasa ke kebun, memasang lampu di sekeliling luar rumah pada waktu malam dan tidak masuk ke kawasan kebun pada waktu malam," tambah kenyataan itu.
Bagaimanapun sekiranya terserempak dengan hidupan liar, aduan atau maklumat boleh dilaporkan kepada Jabatan PERHILITAN melalui talian 1-800-88-5151 atau e-aduan menerusi web www.wildlife.gov.my.