KUALA LUMPUR, 26 Disember- Tiada rakyat Malaysia di Mozambique terjejas akibat pergolakan berterusan, kebanyakannya memberi kesan di kawasan bandar termasuk ibu negara Maputo.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pretoria, Afrika Selatan sentiasa berhubung dengan 20 rakyat Malaysia yang kini menetap di Mozambique.
Usaha tersebut dilakukan menerusi Konsul Kehormat di negara itu.
"Rakyat Malaysia yang berada di Mozambique atau mereka yang memerlukan bantuan, digesa mendaftarkan kehadiran mereka dengan Suruhanjaya Tinggi melalui E-Konsular dan sentiasa berhubung dengan misi itu," kata kenyataan itu.
Sementara, rakyat yang tidak mempunyai keperluan mendesak untuk pergi ke negara berkenaan dinasihat menangguhkan rancangan perjalanan mereka, buat masa ini.
"Wisma Putra tetap komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di luar negara dan akan memberikan maklumat terkini sekiranya diperlukan," jelas kenyataan itu.
Media melaporkan, rusuhan penjara di Maputo pada Rabu menyebabkan 33 orang maut dan 15 cedera ketika pergolakan awam yang dikaitkan dengan pilihan raya yang dipertikaikan Oktober lalu, berterusan.