JOHOR BAHRU, 10 Oktober- Seramai 20 warga asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tuduhan memperdaya mangsa melalui sindiket 'Love Scam'
Kesemua tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Tertuduh terdiri daripada seorang lelaki warga Taiwan, dan 19 lelaki warga China yang berusia antara 21 hingga 36 tahun.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama berpakat melakukan jenayah yang menyalahi undang-undang iaitu memperdaya mangsa melalui 'Love Scam' dan mendorong mangsa menyerahkan wang.
Kesalahan dilakukan di Jalan Saujana 2, Bukit Horizon, Iskandar Puteri, Johor pada 23 September lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 120B(2) kanun sama.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM8,000 untuk setiap tertuduh.
18 November ditetapkan sebutan semula kes dan serahan dokumen.