fb fb fb fb fb

Perdana Menteri dijangka hadir Majlis iftar MADANI

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghadiri Majlis Iftar MADANI anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) esok bersempena dengan cuti Nuzul Quran / Foto FB JAKIM

PUTRAJAYA, 27 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghadiri Majlis Iftar MADANI anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) esok bersempena dengan cuti Nuzul Quran.

Bertempat di Bulatan Dataran Putra, di sini, majlis yang diadakan bermula pukul 5.30 petang itu akan turut menyediakan 10,000 pek juadah berbuka dan bubur lambuk Kampung Baru.

Orang ramai yang menghadiri majlis iftar yang julung kali diadakan itu berpeluang berbuka puasa beramai-ramai secara santai dan duduk bersila bersama-sama dengan Perdana Menteri.

"Program berbuka puasa beramai-ramai secara santai dengan duduk bersila bersama-sama Perdana Menteri itu bertujuan merapatkan persaudaraan dan kebersamaan sekaligus menyuburkan semangat rahmah dan perpaduan di negara ini.

"Selain itu juga, ia membuka ruang kepada agensi kerajaan bersama Perdana Menteri untuk mendekati, menyantuni serta merasai kondisi pelbagai lapisan rakyat di negara ini," katanya JAKIM menerusi kenyataan.

Tambah JAKIM, untuk memastikan keselesaan orang awam yang hadir, bas ulang-alik disediakan di check point Hentian Suasana PJH ke Masjid Putra dan kenderaan boleh diletakkan di kawasan parkir di Suasana dan CIMB Presint 2 (Selatan) serta di kawasan parkir berhampiran Kompleks Pejabat Perdana Menteri (B13).

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN