fb fb fb fb fb

Percepat kerja-kerja baik pulih Jalan Kuala Balah - Jeli - Penduduk

Jalan Persekutuan di Kampung Kubur Datu ditutup kepada semua lalu lintas di kedua-dua arah berikutan berlaku lubang besar atau tanah jerlus

JELI, 2 Januari - Penduduk serta pengguna jalan raya berharap pihak bertanggungjawab dapat mempercepatkan kerja-kerja baik pulih Jalan Jeli-Kuala Balah berdekatan Kampung Kubur Datu, Jeli, Kelantan yang menyebabkan mereka terputus hubungan sejak petang semalam.

Tinjauan di kawasan tersebut mendapati jalan tersebut telah mengalami runtuhan di kedua-dua belah jalan akibat daripada lubang benam (Sinkhole) dan telah ditutup kepada semua lalu lintas.

Seorang penduduk Kampung Bukit Jering, Nik Ahmad Mudzaffar Bakri berkata runtuhan kira-kira pukul 4.00 petang semalam itu menyukarkan penduduk untuk ke bandar Jeli termasuk ke hospital, bank dan membeli barangan keperluan harian.

Dia berkata, laluan itu juga menjadi jalan pintas untuknya untuk ke tempat kerja di Rantau Panjang selain ia juga digunakan oleh mereka dari Jeli, Tanah Merah, Rantau Panjang untuk ke Gua Musang dan Kuala Lumpur.

"Jalan alternatif sangat jauh untuk ke bandar Jeli, akan ambil masa empat hingga lima jam, jadi mintak dipercepatkan untuk memudahkan kami dan urusan tidak tergendala," kata Nik Ahmad, di sini.

"Mak Cik harap kalau boleh dipercepatkanlah," kata penduduk Che Gayah Awang.
 
"Ini antara jalan utama saya dari Raub, apabila jadi begini agak susahlah saya, saya terpaksa amibil cuti. Jadi saya mohonlah agar dipercepatkanlah ambil tindakan," penduduk Mohamad Faiz Mohamad.
 
Semalam media melaporkan, Jalan Persekutuan di Kampung Kubur Datu ditutup kepada semua lalu lintas di kedua-dua arah berikutan berlaku lubang besar atau tanah jerlus.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Jeli dalam satu kenyataan berkata penutupan jalan itu bermula semalam sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak.

Sehubungan itu, papan tanda pemberitahuan dipasang di tapak untuk panduan pengguna jalan raya dan dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Gua Musang-Kuala Krai-Kota Bharu.

TETITIA YUSOFF