PUTRAJAYA, 30 Oktober - Kementerian Wilayah Persekutuan kini berada di peringkat akhir perbincangan teknikal berhubung pembangunan semula Kampung Sungai Baru, bagi memastikan pelaksanaannya memberi manfaat menyeluruh kepada penduduk setempat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau sendiri mempengerusikan jawatankuasa induk yang meneliti semua cadangan berkaitan pelan pembangunan itu.
"Perbincangan masih sedang berjalan di peringkat teknikal dan saya menunggu hasilnya. Antara fokus utama ialah ke arah meningkatkan pemilikan harta orang Melayu di kawasan Kampung Sungai Baru itu sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Integriti Peringkat Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) Tahun 2025 di sini.
Kementerian itu juga sedang meneliti model perniagaan terbaik bagi memastikan pelaksanaan pembangunan mengambil kira keperluan penduduk serta kebolehpasaran syarikat terlibat.
Perbincangan turut melibatkan pelbagai pihak termasuk Perbadanan Kampong Bharu, syarikat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti UDA Holdings Berhad, serta Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).
"Kita sedang menilai model perniagaan terbaik untuk memudahkan rakyat, khususnya kaum Melayu, terus berada di Kampung Sungai Baru," jelasnya.
Beliau juga menyatakan keyakinan bahawa keputusan positif dapat dicapai selepas semua aspek termasuk struktur pelaksanaan, tempoh masa dan keseimbangan keuntungan syarikat diperhalusi.
