fb fb fb fb fb

Perbincangan bina ICQS Bukit Berapit dimuktamad bulan depan

Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah

GERIK, 15 April - Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Negeri Perak akan memuktamadkan perbincangan berhubung pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu yang baharu pada bulan depan.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, perbincangan akan tertumpu kepada isu teknikal melibatkan lokasi, keluasan dan kos pembinaan.

Pada April tahun lalu, KDN telah bersetuju untuk memindahkan ICQS Bukit Berapit ke lokasi baharu memandangkan kedudukan semasa yang agak jauh dari pintu sempadan antarabangsa.

"Jadi ada keperluan untuk didekatkan bagi mengelak kemasukan penyeludupan sama ada daripada negara ini keluar ataupun dibawa ke dalam, namun ini proses masih panjang.

"Kerana perbincangan lanjut penentuan kawasan dan sebagainya masih dibuat antara KDN dan kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN). Secara prinsip kita buat tapi kita dah mengambil langkah awal dengan meletakkan sjr kita dekat dengan pintu sempadan."

Dr. Shamsul bercakap kepada pemberita dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu dan Pesara Polis di Perkarangan IPD Pengkalan Hulu.

Pembinaan ICQS di lokasi baharu itu juga akan memberi peluang atau nilai tambah dalam meningkatkan sektor ekonomi penduduk setempat.

TETITIA YUSOFF