Perbelanjaan bencana Malaysia 2025 cecah RM49.17 juta

Datuk Seri Nancy Shukri (tengah), meninjau Program Jualan RAHMAH pada majlis penyerahan Kampung Angkat MADANI di Kampung Buntal / BERNAMA

KUCHING, 15 Januari – Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membelanjakan sebanyak RM49.17 juta bagi peruntukan bencana di seluruh negara sepanjang tahun 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • JKM membelanjakan RM49.17 juta untuk peruntukan bencana sepanjang 2025 di seluruh negara.
  • Sarawak menerima RM12.31 juta, menunjukkan komitmen bantuan kebajikan kepada mangsa bencana.
  • Kerajaan jangka peruntukan bencana 2026 meningkat kira-kira 15 peratus bergantung kepada cuaca.
  • Projek Kampung Angkat MADANI dan naik taraf dewan Buntal siap, berfungsi juga sebagai Pusat Pemindahan Sementara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, daripada jumlah tersebut, Sarawak merekodkan perbelanjaan sebanyak RM12.31 juta, mencerminkan keperluan serta komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan bantuan kebajikan disalurkan kepada rakyat yang terkesan akibat bencana.

Menurut beliau, memasuki tahun 2026, perbelanjaan berkaitan bencana telah mula dilaksanakan dan kerajaan menjangkakan peningkatan sehingga 15 peratus, selari dengan kesinambungan program bantuan yang diteruskan daripada tahun sebelumnya.

“Kita menjangkakan peningkatan ini bergantung kepada laporan dan keadaan cuaca. Sudah tentu harapan kita adalah supaya bencana tidak berlaku, namun keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini memerlukan kita sentiasa bersiap siaga, termasuk dari segi kewangan dan peruntukan untuk membantu rakyat,” katanya.

Datuk Seri Nancy turut memaklumkan butiran terperinci peruntukan bencana bagi tahun 2026 masih belum dimuktamadkan. Namun bagi Sarawak, peningkatan sekitar 15 peratus dijangka melonjakkan nilai peruntukan kepada melebihi RM12 juta.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memperkukuh pembangunan komuniti luar bandar apabila Projek Kampung Angkat MADANI Tahun 2025 di Kampung Buntal berjaya disiapkan dan diserahkan kepada penduduk, hari ini.

Menurut beliau, projek tersebut mencerminkan iltizam Kerajaan MADANI dalam memastikan pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh, tersusun serta memberi manfaat sebenar kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Tambahnya, Projek Kampung Angkat MADANI merupakan inisiatif nasional yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri dengan matlamat memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan melalui pendekatan pembangunan berfokus, berimpak tinggi dan berpaksikan keperluan komuniti setempat.

“Seiring dengan objektifnya, pelaksanaan Kampung Angkat MADANI KPWKM memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur yang menyumbang kepada pembangunan sosial, ekonomi dan kesejahteraan komuniti, khususnya di Kampung Buntal ini,” katanya.

Datuk Seri Nancy berkata demikian sempena Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI di Kampung Buntal, Santubong, di Kuching.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan KPWKM melalui Bahagian Pembangunan telah melaksanakan kerja menaik taraf Dewan Serbaguna Kampung Buntal selama 28 minggu bermula 5 Jun hingga 18 Disember 2025, melibatkan kos berjumlah RM998,200.

Dewan berkenaan kini dilengkapi kemudahan yang lebih selesa, moden dan kondusif, sekali gus berfungsi sebagai pusat aktiviti komuniti termasuk program kemasyarakatan, wanita dan keluarga, belia serta mesyuarat penduduk.

Selain itu, kemudahan tersebut turut berperanan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya berlaku bencana atau kecemasan.

Sempena majlis penyerahan itu, pelbagai pengisian interaktif turut dianjurkan dengan penglibatan agensi Persekutuan dan Negeri, antaranya sesi perkongsian ilmu oleh Yayasan Kebajikan Negara, LPPKN dan Jabatan Pembangunan Wanita, selain perkhidmatan bergerak seperti Klinik Bergerak LPPKN, Klinik Pergigian Bergerak, kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Turut disediakan Jualan Rahmah, saringan kanser serviks dan mammogram, perkhidmatan kaunseling serta psikososial, Kempen Awak OK Tak?, Sahabat KafeTeen, Skuad Aman Wanita (AMANITA) dan perkhidmatan Talian KASIH 15999.