(Datuk Seri Nancy mengadakan lawatan ke Pusat Jagaan Damai Permai, Kepala Batas)
KEPALA BATAS, 17 Julai- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berharap lebih banyak pihak terutama syarikat swasta, untuk menubuhkan pusat jagaan warga emas di negara ini.
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia bagi memenuhi keperluan semasa, selain memberi pilihan kepada keluarga berkemampuan menghantar ibu bapa mereka di pusat tersebut.
Katanya, langkah berkenaan dilihat bersesuaian, kerana pusat jagaan itu menawarkan perkhidmatan penjagaan berkualiti dan terbaik kepada golongan berkenaan.
“Sebenarnya ada pusat jagaan warga emas ini bukan sahaja untuk golongan itu, malah untuk orang kelainan upaya (OKU) juga, mereka juga memerlukan penjagaan rapi sebab itu kita galakkan lebih banyak pusat jagaan swasta dibuka, untuk memberi pilihan kepada orang ramai.
“Anak-anak yang bekerja dan berkemampuan, mereka mahu hantar ibu bapa atau ahli keluarga ke pusat jagaan ketika mereka bekerja, kerana yakin penjagaan rapi yang baik di situ dan sebenarnya ini lah care ekonomi yang bagus kita harap ia diperluaskan,” katanya.
(Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri)
Terdahulu Nancy mengadakan lawatan ke Pusat Jagaan Damai Permai, Kepala Batas yang terdapat seramai 54 penghuni di pusat jagaan perkhidmatan berbayar milik persendirian itu.
Ketika ini terdapat sebanyak 393 pusat penjagaan warga emas di seluruh negara, yang berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993.
Namun jumlah itu ujarnya dianggap masih rendah, memandangkan ramai yang memerlukan dan mahu menggunakan perkhidmatan itu ketika ini.
“Kalau pusat jagaan warga emas bawah kerajaan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memang ada dah, ia sudah wujud lama di bawah kita, namun bagi anak-anak yang mempunyai kemampuan untuk mendapatkan perkhidmatan yang lebih baik, akan memilih untuk menghantar ibu bapa mereka ke institusi penjagaan swasta," katanya.