fb fb fb fb fb

Perbaiki polisi PEP, kerjasama dengan institusi kewangan ditingkatkan

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 9 Disember – Kerjasama dengan institusi kewangan akan dipertingkatkan untuk memperbaiki pelaksanaan polisi individu terdedah secara politik (PEP).

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata usaha itu termasuk melaksanakan sesi libat urus dan pemeriksaan terhadap institusi kewangan bagi memperbaiki pematuhan polisi berkaitan PEP melalui proses automasi.

“Ini akan diikuti dengan pengeluaran panduan amalan terbaik untuk meningkatkan keberkesanan pelaksanaan polisi PEP, termasuk memberikan contoh spesifik berkaitan kategori individu dan jawatan yang dikenalpasti sebagai PEP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh di Dewan Negara, di sini.

Kriteria PEP merujuk kepada piawaian antarabangsa yang dikeluarkan oleh Financial Action Task Force (FATF). Tapisan wajar pelanggan berstatus PEP mula dilaksanakan secara berperingkat sejak tahun 2006.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN