Peranti bukan pengasuh, Fahmi gesa ibu bapa kawal media sosial kanak-kanak bawah 16 tahun

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil (tengah) merasmikan Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 di Taman Tasik Titiwangsa hari ini/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Februari – Ibu bapa perlu memainkan peranan utama dalam mengawal penggunaan media sosial dan aplikasi digital oleh kanak-kanak bawah usia 16 tahun bagi melindungi mereka daripada risiko jenayah siber dan penyalahgunaan data, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ibu bapa mesti kawal penggunaan media sosial dan aplikasi digital untuk melindungi kanak-kanak bawah 16 tahun daripada eksploitasi dan penyalahgunaan data.
  • Peranti bukan pengasuh; orang dewasa perlu pasang sekatan keselamatan dan pantau akses Internet anak-anak.
  • Sambutan Hari Keselamatan Internet mengingatkan kepentingan tanggungjawab ibu bapa dalam keselamatan digital era teknologi dan kecerdasan buatan.

Beliau berkata pendekatan kerajaan ketika ini adalah berlandaskan undang-undang serta semangat Perlembagaan, tanpa mengambil sebarang tindakan secara sewenang-wenangnya yang boleh menjejaskan keselamatan awam.

“Kita melihat di seluruh dunia, bermula dengan Australia, diikuti Eropah dan banyak negara lain termasuk di Asia Tenggara, telah mula mengiktiraf keperluan mengehadkan penggunaan media sosial, khususnya bagi kanak-kanak bawah 16 tahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Kempen Internet Selamat sempena Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 di Taman Tasik Titiwangsa hari ini.

Fahmi berkata langkah itu diambil kerana kanak-kanak yang belum matang sepenuhnya mudah terdedah kepada eksploitasi, termasuk penyalahgunaan data dan imej oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, Australia telah melaksanakan sekatan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun sejak Disember lalu, manakala Malaysia turut mengambil pendekatan serupa selari dengan beberapa negara lain termasuk Indonesia.

“Bukan bermakna kanak-kanak tidak boleh melakukan apa-apa. Banyak aktiviti lain yang lebih sihat boleh dilakukan. Media sosial bukan satu-satunya ruang untuk mereka,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kawalan terhadap peranti dan akses Internet sebenarnya terletak di tangan ibu bapa kerana pembelian telefon pintar, tablet serta langganan perkhidmatan Internet dibuat oleh golongan dewasa, bukan kanak-kanak.

“Peranti bukan pengasuh. Ibu bapa perlu ambil kawalan. Pastikan sekatan keselamatan dipasang pada peranti supaya anak-anak tidak terlalu leka bermain dengan aplikasi,” katanya.

Fahmi berkata sambutan Hari Keselamatan Internet menjadi peringatan penting agar ibu bapa lebih cakna dan bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan anak-anak di alam digital, khususnya dalam era teknologi dan kecerdasan buatan yang berkembang pesat.