SERI ISKANDAR, 11 Oktober - Komitmen kerajaan untuk membersihkan negara daripada rasuah, penyelewengan dan kegiatan kartel akan diteruskan susulan kejayaan mengembalikan hasil negara sebanyak RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun menerusi penguatkuasaan tegas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan itu jelas membuktikan ketegasan kerajaan dalam memastikan tiada pihak termasuk individu berpangkat tinggi terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya terbabit dalam kegiatan yang merugikan negara.
"Maknanya berapa lama rompakan dan kerja sauk ini berlaku dalam dua tahun itu. Itu pun kerana saya tegas dan menegaskan kepada semua agensi penguatkuasa bahawa tiada kompromi terhadap rasuah, penyeludupan, sindiket dan kartel. Hapuskan mereka kerana mereka mencuri daripada rakyat,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk sindiket dan kartel yang menyelewengkan hasil negara.
Perdana Menteri juga menegaskan prinsip keadilan dan integriti perlu ditegakkan tanpa mengira kedudukan atau gelaran individu terbabit.
Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika berucap pada Program Temu Anwar Bersama Pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Canselori UTP, Seri Iskandar, Perak.