Peranan wanita dalam ATM diperluas

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 8 APRIL – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperluaskan peranan wanita dalam kepimpinan ketenteraan, khususnya melalui pelantikan ke jawatan pemerintahan dan staf, bagi memperkukuh kesiapsiagaan operasi menerusi pendekatan lebih inklusif.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan penyertaan wanita dalam peranan membuat keputusan bagi memperkukuh kepimpinan dan keberkesanan operasi.
  • Peranan wanita berkembang melangkaui pentadbiran dan perubatan kepada sokongan tempur serta perisikan strategik.
  • Usaha bersepadu meningkatkan peratus pegawai wanita dalam jawatan pemerintahan dan staf untuk peranan strategik.
  • MAFIS 2026 mempamerkan komitmen ATM terhadap agenda WPS melalui kepimpinan inklusif, adaptif dan profesional.

Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri berkata peningkatan penyertaan wanita dalam peranan membuat keputusan adalah penting, sekali gus melangkaui penempatan tradisional dalam perkhidmatan pentadbiran dan perubatan.

“Secara signifikan, peranan wanita dalam ATM terus berkembang dari segi skop dan tanggungjawab, di mana sumbangan mereka menjadi sebahagian daripada usaha membina keupayaan, memperkukuh kepimpinan dan mengekalkan keberkesanan operasi.

“Terdapat usaha bersepadu untuk meningkatkan peratus pegawai wanita dalam peranan pemerintahan dan staf. Perkembangan ini bertujuan melangkaui penempatan wanita dalam bidang pentadbiran atau perubatan semata-mata, kepada peranan strategik seperti sokongan tempur dan perisikan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Antarabangsa Symposium (MAFIS) 2026 di sini, hari ini.

Tambah beliau, penganjuran simposium ini mencerminkan komitmen berterusan ATM dalam memperkasa agenda Women, Peace and Security (WPS) melalui pengukuhan kesiapsiagaan operasi berteraskan kepimpinan yang inklusif, adaptif dan profesional, selaras dengan persekitaran keselamatan global yang semakin kompleks dan dinamik.

Simposium selama dua hari ini menghimpunkan kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada pegawai kanan ketenteraan, penasihat dasar, ahli akademik serta pakar bidang WPS (WPS Subject Matter Expert) dari dalam dan luar negara termasuk Kanada, Amerika Syarikat, Australia dan Jepun serta dari negara-negara ASEAN.