Peranan penting media sampaikan dasar kerajaan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Media memainkan peranan penting dalam memastikan dasar kerajaan dapat difahami rakyat, khususnya bagi menjelaskan usaha yang sedang dilaksanakan kerajaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Media membantu rakyat memahami dan merasai kesan dasar supaya inisiatif kerajaan memberi makna dan manfaat sebenar.
  • Sebagai elemen demokrasi matang, media berperanan mempersoal dan menegur dasar serta tindakan kerajaan.
  • Hubungan kukuh antara kementerian dan pengamal media penting untuk memastikan maklumat tepat dan sahih sampai kepada masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menzahirkan penghargaan kepada pengamal media atas komitmen mereka menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat, termasuk sepanjang bulan Ramadan.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan bagi memperkukuh kesejahteraan komuniti bandar di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Di Wilayah Persekutuan, pelbagai usaha sedang dilaksanakan bagi memperkukuh kesejahteraan komuniti bandar, sama ada di Kuala Lumpur, Putrajaya mahupun Labuan. Namun, saya juga menyedari bahawa sesuatu dasar yang baik tidak akan memberi makna sekiranya rakyat tidak memahami atau tidak merasai kesannya secara langsung.

“Di sinilah peranan rakan rakan media menjadi amat penting. Anda bukan sekadar menyampaikan berita, sebaliknya membantu rakyat memahami apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka serta bagaimana dasar yang dilaksanakan memberi manfaat kepada kehidupan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Nur Ramadan bersama media di St. Giles Boulevard Hotel hari ini.

Menurutnya, dalam negara demokrasi yang matang, media bukan sahaja menyampaikan maklumat, malah berperanan mempersoalkan dasar serta menegur tindakan kerajaan.

Justeru, media dilihat sebagai rakan strategik kerajaan dalam menyampaikan maklumat secara jelas dan mudah difahami kepada rakyat.

Beliau turut berharap hubungan antara kementerian dan pengamal media terus diperkukuh bagi memastikan maklumat tepat dan sahih sampai kepada masyarakat.